Saturday 15 December 2012

CASE STUDY: JENAYAH SIBER










PENGENALAN

Dewasa ini, kita tidak dapat lari dari kemodenan teknologi. Ini disebabkan teknologi mampu membantu kita menyelesaikan satu perkara dengan cepat dan efisien. Salah satu teknologi yang mungkin tidak asing lagi adalah internet. Internet merupakan sumber akses yang mudah untuk mendapatkan maklumat dengan adanya polisi dunia tanpa sempadan. Bak kata pepatah yang sering kali dikaitkan dengan kemodenan teknologi, segala maklumat umpama dihujung jari sahaja. Segala-galanya boleh didapati di internet.

Sebagai negara yang sedang giat membangun, Malaysia telah memasuki alam penggunaan alam siber melalui dua pendekatan iaitu ‘hard-infrastructure’ dan ‘soft-infrasructure’. ‘Hard-infrasructure ini adalah bermaksud membina infrastruktur dengan mewujudkan kawasan fizikal untuk pembangunan ICT termasuk membina backbone komunikasi berkelajuan tinggi. ‘Soft-infrasructure’ pula bermaksud mewujudkan undang-undang yang berhubungkait dengan ICT tersebut.

Walaubagaimana pun, masih ramai masyarakat yang tidak tahu tentang jenayah siber yang kini semakin hebat menular di kalangan pengguna teknologi. Ianya boleh diklasifikasikan sebagai jenayah siber dimana jenayah sebegini sukar dibendung. Ini disebabkan oleh penyalahgunaan teknologi yang sedia ada dan banyak unsur penipuan yang berlaku.




PENDAHULUAN


Dalam mengejar arus kemodenan kini, Malaysia sentiasa berkembang sebagai suatu negara yang maju menjelang tahun 2020. Demi merealisasikan Wawasan 2020 tersebut, pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan dalam meniti arus  kemodenan agar Malaysia terus membangun dengan pesat sejajar dengan negara membangun yang lain. Oleh sebab itu, peranan teknologi amat diperlukan.


Malaysia sendiri secara amnya telah memperuntukkan belanjawan yang besar untuk membina kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berteknologi tinggi dan pesat membangun. Disini terdapat pelbagai pelaburan dari dalam dan luar negara telah dijalankan untuk memangkin pembangunan ekonomi negara. Justeru itu, penggunaan alam maya ini adalah penting.

 Akan tetapi, dalam mencapai hasrat ini, masih terdapat segelintir masyarakat tidak tahu atau kurang pengetahuan berkaitan internet. Disebabkan kecanggihan teknologi ini dan kekangan ilmu, ramai masyarakat yang tertipu di alam siber ini dan menyebabkan berlakunya jenayah siber yang mungkin tidak disedari. Situasi sebegini sukar dibendung kerana jenayah siber dilakukan di alam maya yang berpolisikan dunia tanpa sempadan.


  DEFINISI



Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Empat), jenayah membawa maksud perbuatan atau kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain) yang salah di sisi undang-undang atau perbuatan salah (di sisi undang-undang). Sebagai contoh internet ibarat pasar raksasa yang menemukan pembeli dan penjual dalam ruang siber. Sebagai kesimpulannya, jenayah siber adalah kejahatan yang dilakukan di dalam alam maya ini.

UNDANG -UNDANG JENAYAH SIBER DI MALAYSIA



Undang-undang siber telah diperkenalkan di Malaysia bermula pada tahun 1987 dengan penguatkuasaan Akta 332 “Akta Hak Cipta Terpelihara 1987”. Sepuluh tahun kemudian (1997), apabila penggunaan internet menjadi semakin penting dan digunakan di dalam pelbagai bidang beberapa akta telah ditubuhkan lagi. Pada tahun 1997 ini  Akta 562 “Akta Tandatangan Digital 1997”, Akta 563 “Akta Jenayah Komputer 1997” dan Akta 564 “ Akta Teleperubatan 1997” telah dikuatkuasakan. Pada tahun berikutnya (1998), Akta 588 “Akta Komunikasi dam Multimedia 1998” dan Akta 589 “Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998” telah diperkenalkan.

            Akta Hak Cipta Terpelihara 1987 telah dikuatkuasakan dengan bertujuan  untuk melindungi bentuk atau cara dimana idea-idea dan maklumat ditunjukkan kepada orang lain dengan berbentuk pernyataan  fizikal. Selain itu, akta ini juga bertujuan untuk melindungi konsep, fakta, gaya atau teknik yang wujud atau digambarkan dalam karya hak cipta. Mengikut seksyen 43,Akta Hak Cipta Terpelihara 1987 ini sesiapa yang didapati bersalah dibawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda RM 10,000 sehingga tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.

            Disamping itu, Malaysia mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini merupakan tunjang kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia berfungsi menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT di negara ini. Akta ini juga mempunyai 10 objektif dasar nasional bagi industri komunikasi dan multimedia. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula bertujuan untuk membolehkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambil alih kuasa perlesenan terhadap spektrum penyiaran dan telekomunikasi.

            Dengan ini, pengguna akan berasa lebih selamat untuk menggunakan internet kerana dilindungi oleh undang- undang dan seterusnya akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara dan pengguna alam siber ini.

JENIS-JENIS JENAYAH SIBER

Terdapat pelbagai jenis jenayah siber yang boleh berlaku. Mungkin kebanyakkan masyarakat masih belum menyedari sama ada ianya adalah sebuah jenayah siber atau pun tidak. Boleh dikatakan semua peringkat penggunaan komputer dan internet terdedah dengan jenayah siber tanpa disedari. Antara jenis jenayah siber yang biasa didengari :

·         Penipuan – Terdapat banyak penipuan yang boleh berlaku contohnya penipuan wang ringgit, kad kredit sehingga ke tahap lebih serius seperti pemindahan wang ke dalam akaun.
·         Kecurian maklumat – Contoh kecurian yang boleh berlaku adalah seperti kecurian maklumat peribadi yang boleh mengaibkan seseorang, kecurian kata laluan dan kecurian maklumat rahsia sesebuah syarikat. Masalah ini menjadi lebih serius apabila melibatkan kecurian maklumat rahsia kerajaan kerana bersangkut-paut dengan keselamatan sesebuah negara.
·         Judi siber – Ianya merupakan suatu permainan judi yang berlaku di alam maya. Ini boleh mendorong kepada penipuan dan kerugian kepada seseorang.
·         Menyalin perisian secara tidak sah (plagiat) – Tindakan ini boleh diklasifikasikan sebagai plagiat atau cetak rompak. Sebagai contoh ialah menciplak harta intelek seperti karya penulisan orang lain, pengambilan data tanpa izin dan mengubah sesuatu maklumat atau karya.
·         Penyebaran virus – Virus ialah suatu perisian yang direka oleh golongan yang tidak bertanggungjawab yang mampu merosakkan sistem komputer.
·         Pornografi – pornografi ialah unsur-unsur lucah yang boleh didapati melalui internet.
·         Penggodaman atau “hacker” – Penggodam ialah seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang komputer dan internet yang boleh mencuri masuk laman web seseorang dan menukar atau merosakkan data maklumat seseorang. Ia juga boleh menjadi sebagai pencuri maklumat di alam siber.


 PUNCA - PUNCA JENAYAH SIBER

 
Jenayah siber boleh berlaku dimana-mana tanpa disedari. Terdapat banyak punca yang mendorong jenayah siber ini berlaku. Ini sememangnya membimbangkan tetapi tidak diberi perhatian kerana alasan penjenayah tidak dapat dilihat. Terdapat info lain yang boleh diketahui melalui ahkbar tersebut iaitu jenayah siber ini berlaku setiap 0.25 saat diseluruh dunia yang mana meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Antara punca utamanya adalah sikap sesetengah masyarakat atau “human attitude” iaitu sikap tamak. Jenayah ini dilakukan oleh penjenayah siber yang tamakkan wang ringgit sehingga sanggup menipu untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Sebagai contoh jual beli barangan di dalam internet dimana barang yang dijual adalah tidak wujud sedangkan pembeli telah ditipu. Tidak kurang juga terhadap sikap masyarakat yang tamak dimana ingin menjadi kaya dengan sekelip mata. Ini dapat dilihat apabila ada masyarakat yang tertipu melalui skim cepat kaya yang ditayangkan di laman web yang tidak berdaftar dan dikelolakan olah pihak yang tidak bertanggungjawab.

            Selain dari itu, golongan masyarakat yang kurang celik teknologi maklumat juga menjadi punca mereka menjadi mangsa utama jenayah siber dan punca penularan jenayah ini. Golongan seperti ini selalunya mudah ditipu oleh penjenayah. Masalah ini  berlaku apabila golongan masyarakat ini mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup dengan cara mudah lantaran itu mengambil peluang yang ada di dalam laman web tanpa usul periksa.

            Tidak ketinggalan juga terhadap golongan yang menyimpan perasaan hasad dengki dan dendam. Perasaan sebegini boleh mengundang seseorang melakukan jenayah siber seperti penggodaman, mencuri maklumat peribadi seseorang, menyebarkan fitnah kepada seseorang dan penyebaran virus tanpa kawalan. Ini semua akan merosakkan imej atau maruah seseorang dan menyebabkan seseorang itu mengalami kerugian dari pelbagai segi salah satunya wang ringgit.


 
KESAN - KESAN JENAYAH SIBER


 
Sebagaimana yang masyarakat tahu bahawa jenayah yang berlaku mendatangkan kesan yang negatif. Antara kesan yang jelas dilihat ialah boleh menjatuhkan maruah seseorang akibat penyebaran fitnah. Ini akan memburukkan imej seseorang itu di mata masyarakat. Sekiranya fitnah dilemparkan kepada sesebuah syarikat, sudah tentulah syarikat tersebut akan mendapat kerugian akibat kehilangan para pelabur dan pelanggannya.



            Selain daripada itu, jenayah boleh menjatuhkan maruah orang lain mendatangkan kerugian kepada mangsa. Sebagai contoh, penjenayah menipu dengan skim cepat kaya atau penjualan sesuatu barang yang tidak bermutu akan mendatangkan kerugian yang besar kepada pengguna atau masyarakat. Tidak kurang juga penjualan khidmat perubatan yang tidak berkualiti yang menyebabkan kerugian kepada pesakit yang menggunakan perkhidmatan tersebut.


          Selain itu, peningkatan terhadap jenayah sosial juga boleh berlaku. Ini disebabkan kewujudan laman-laman web pornografi yang menyebabkan penyebaran bahan lucah. Lazimnya, remajalah golongan yang paling terpengaruh dan terkesan akibat penyebaran bahan ini kerana pada usia ini mereka cenderung untuk mencuba dan mempelajari sesuatu yang baru. Lantas ia akan merosakkan akhlak dan morak generasi masa kini sehingga berlakunya kes khalwat, zina dan pembuangan bayi.




            Jenayah siber juga memberi kesan kepada keselamatan negara sekiranya berlaku kebocoran maklumat ke luar negara. Ia juga akan menyebabkan pergolakan politik negara menyebabkan sistem pemerintahan negara terganggu. Dari segi ekonomi pula, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk disalurkan kepada bahagian pertahanan negara demi menjamin keselamatan negara dan membanteras jenayah siber ini.

 CARA - CARA MENGATASI JENAYAH SIBER


Bagi mengelakkan hal ini semakin parah, setiap anggota masyarakat haruslah berganding bahu dan memainkan peranan dengan sebaik mungkin bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

            Sehubungan itu, terdapat beberapa kaedah atau langkah yang perlu diambil untuk menangani jenayah siber. Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh. Ini dibantu dengan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat dalam menyampaikan maklumat yang berguna bagi pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

            Bagaimanapun, institusi kekeluargaan memainkan peranan yang besar dalam menyelesaikan masalah ini. Penerapan nilai-nilai keagamaan dan akhlak yang terpuji dalam diri anak-anak adalah sangat penting supaya mereka terhindar daripada sikap-sikap negatif seperti tamak, iri hati dan hasad dengki. Dengan ilmu kerohanian yang tinggi dalam diri, mereka pasti dapat mengawal nafsu agar tidak melayari laman web yang tidak berguna apatah lagi perkara yang dilarang dalam agamanya.  
                                                     
                      Disamping itu, laman web yang mengandungi unsur-unsur seperti pornografi dan laman web yang dibanjiri oleh maklumat yang tidak berguna mestilah disekat supaya ia tidak dapat diakses oleh pengguna. Kajian terhadap penciptaan software (perisian) yang baru dan moden juga perlu ditingkatkan untuk mencegah dan menghalang penyebaran virus contohnya anti-spyware dan maxwell.


            Selain daripada itu juga, kerajaan perlu menerapkan pengetahuan mengenai jenayah siber ini melalui penerapan awal sejak di bangku sekolah lagi. Tidak lupa juga penerapan kepada ahli masyarakat melalui media massa dan media elektronik supaya pencegahan awal perlu diambil. Ini juga dapat membantu memberi maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah siber dan cara mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber serta melahirkan masyarakat yang celik teknologi maklumat. Oleh itu, dengan cara sebegini dapat membantu membendung masalah jenayah siber daripada terus menular.


 

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, hal ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mampu memberi impak yang besar kepada individu, masyarakat dan negara. Oleh sebab masih ramai yang tidak tahu tentang jenayah siber ini menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa jenayah siber. Selain itu, pemantauan daripada masyarakat terhadap anak-anak dalam melayari laman web yang berkaitan haruslah ditingkatkan. Ini bagi mengelakkan generasi akan datang terjebak dengan masalah sosial dan penyebaran video-video lucah.



            Selain daripada itu, tindakan menyediakan payung sebelum hujan juga perlu diamalkan dalam kalangan masyarakat. Penyediaan maklumat berkaitan jenayah siber kepada masyarakat oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam berwaspada supaya tidak menjadi mangsa kerakusan penjenayah siber. Kerjasama daripada masyarakat supaya membuat laporan berkaitan jenayah siber juga memainkan peranan penting dalam membendung jenayah siber ini.